Seorang lagi pemimpin Pakatan tuntut PM tunai janji mansuh Akta Hasutan

Pemuda PKR kecewa layanan berat sebelah Khalid

Seorang lagi pemimpin Pakatan Rakyat menyertai gesaaan agar Putrajaya menghentikan serangan balas terhadap pemimpin mereka dan menuntut perdana menteri supaya memenuhi janjinya memansuhkan Akta Hasutan yang dibuat lebih dua tahun lalu.

Ketua Pemuda PKR yang baru dipilih, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ikrar Datuk Seri Najib Razak pada bulan Julai 2012 untuk memansuhkan akta itu, sejajar dengan rancangan transfomasi kerajaan, kini dilihat sebagai janji kosong.

Sebaliknya, lebih ramai pemimpin Pakatan sama ada disiasat atau didakwa oleh pihak berkuasa di bawah Akta Hasutan tersebut sejak kebelakangan ini.

"Seolah-olah perbuatan itu hanya ditujukan kepada pemimpin Pakatan sahaja, manakala tiada tindakan diambil terhadap pemimpin BN serta ahli Isma dan Perkasa yang mengeluarkan kenyataan menghasut yang sama," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam beberapa hari lepas, Naib Presiden Rafizi Ramli, MP PAS Shah Alam Khalid Samad, peguam yang juga pemimpin PKR dan MP Padang Serai N Surendran dan Adun Seri Delima RSN Rayer didakwa dengan tuduhan hasutan, dalam apa yang dilihat sebagai percubaan Putrajaya mendiamkan musuh politiknya.

Nik Nazmi berkata beliau membuat laporan polis dua bulan lalu terhadap pemimpin kumpulan hak Melayu, Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim kerana didakwa mengancam untuk memotong kepala empat Ahli Parlimen PAS tetapi setakat ini, belum ada sebarang tindakan diambil.

Ahli Parlimen Shah Alam dilaporkan menggesa kuasa-kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dihadkan berikutan rampasan Bible bahasa Melayu dan Iban oleh pihak berkuasa agama di negeri ini awal tahun ini.

Ruslan dilaporkan menjelaskan bahawa dia merujuk kepada "politik pemotongan kepala" di mana pemimpin adalah dihukum oleh pengundi melalui cara yang demokratik.

Nik Nazmi berkata, jika Najib berkata benar tentang janjinya, beliau perlu mengambil langkah segera untuk memansuhkan akta yang zalim ini.

"Hentikan pendakwaan dan serangan terhadap pemimpin Pakatan dengan segera. Dengan pemansuhan Akta, tidak ada yang boleh menekan pihak yang menyuarakan pandangan mereka atau mengkritik kerajaan," kata Adun Seri Setia.

Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 semalam melahirkan kebimbangan pada penggunaan berterusan Akta Hasutan "untuk menutup mulut penentang dan kebebasan bersuara".

"Dengan mengambil kira perkembangan terkini, ia adalah jelas bahawa Akta Hasutan akan terus digunakan sebagai senjata untuk menutup mulut suara-suara yang menentang.

"Ini adalah pelanggaran yang jelas terhadap semangat demokrasi yang sentiasa menggalakkan pendapat dan suara yang berbeza," pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata.

Najib berjanji untuk memansuhkan akta kuno dan zalim itu apabila beliau mengambil alih pentadbiran negara pada tahun 2009, dan beliau berjaya menunaikan janjinya apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Ordinan Darurat 1969.

Kedua-dua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara itu lantang ditentang oleh kumpulan hak asasi.

Bagaimanapun, perdana menteri masih belum memansuhkan Akta Hasutan walaupun dengan ucapan beliau yang berjanji akan menggantikannya dengan Akta Keharmonian National. – 28 Ogos, 2014.