SEORANG MAUT, DUA CEDERA DALAM KEBAKARAN DI SEBUAH MAAHAD TAHFIZ DI SUNGAI PETANI

SUNGAI PETANI, 15 Jun (Bernama) -- Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah

(Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, maut manakala dua rakannya

cedera dalam satu kebakaran di asrama Maahad berkenaan, awal hari ini.

Mangsa yang maut ialah Aiman Nurhakim Yahya, 13, yang merupakan penuntut

tahun satu yang memulakan pengajian awal tahun ini. Mangsa yang cedera ringan

ialah Meor Amirul Meor Mohd Ghazali, 16, dan Mohamad Muaz Halim, 14.

Seorang pelajar yang terselamat, Mohammad Iszuddin Mohd Iszam, 14, berkata

sewaktu kejadian pukul 2 pagi itu, dia sedang tidur bersama rakan-rakannya

sebelum dikejutkan seorang rakannya yang menyedari api mulai marak.

"Bila terjaga, saya terus kejutkan empat lagi rakan yang tidur di tingkat

atas termasuk Aiman yang tidur di bahagian hujung bilik. Semua rakan yang lain

sudah bangun dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Kami sangka Aiman juga sudah keluar rupa-rupanya dia masih berada di dalam.

Api marak dengan dengan cepat kerana bahagian atas rumah adalah papan, kami

tidak sempat nak lakukan apa-apa untuk membantu Aiman," katanya ketika ditemui

Bernama di tempat kejadian hari ini.

-- LAGI

KEBAKARAN-MAUT 2 SUNGAI PETANI

Sementara itu, Pengetua (Mudir) Mantab Zamri Arshad berkata Mantab

beroperasi kira-kira tiga tahun lalu, dan jumlah pelajar yang masih menuntut

ialah seramai 20 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

"Sebelum ini mereka tinggal di bangunan yang sama dengan bangunan pejabat

dan kelas, namun dipindahkan ke sebuah rumah yang dibeli di kawasan berhampiran

pada awal tahun ini kerana bilangan pelajar hampir 40 orang.

"Memandangkan pelajar kini 20 orang, kami bercadang untuk memindahkan mereka

kembali ke bangunan asal dalam minggu ini. Dengan kejadian yang meragut nyawa

salah seorang pelajar di sini, pelajar diberi cuti dan waris mereka akan

dimaklumkan untuk membawa anak-anak pulang sementara urusan penginapan baharu

diselesaikan," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Penaung Mantab, Anuar Md Isa, yang juga imam masjid Kampung Masjid berkata

rumahnya terletak tidak jauh daripada asrama itu dan dia yang terjaga dari tidur

setelah terdengar bunyi bising, tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak

dengan cepat.

"Sebelum pelajar-pelajar ditempatkan di asrama berkenaan, beberapa

pengubahsuaian sudah dilakukan termasuklah memasang sistem pendawaian elektrik

yang baharu. Namun, saya difahamkan punca kebakaran dipercayai disebabkan

berlakunya litar pintas.

-- LAGI

KEBAKARAN-MAUT 3 (AKHIR) SUNGAI PETANI

"Kita berasa sedih dengan peristiwa yang berlaku dan mengucapkan takziah

kepada keluarga mangsa," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamri di

talian 012-5661613 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam Maahad

Tahfiz Al-Barakah 07043011030975.

Dalam pada itu, jenazah Aiman Nurhakim yang dihantar ke Hospital Sultan

Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, dijangka dibawa pulang oleh keluarganya

ke rumah mereka di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk dikebumikan.

-- BERNAMA

SRS KAY NH

Loading...