Advertisement

Setahun kemudian, pengetua Seri Pristana pertimbang saman pemberi maklumat

Setahun selepas kontroversi di SK Seri Pristana di Sungai Buloh di mana pelajar bukan Islam diarahkan makan di bilik mandi semasa Ramadan, pengetua akhirnya bercakap tentang perkara itu tetapi enggan memohon maaf kerana mengeluarkan arahan sedemikian.

Beliau sebaliknya mempertimbangkan untuk menyaman ibu bapa pelajar yang menyebarkan gambar murid bukan Islam makan di bilik mandi pada waktu rehat.

Mohd Nasir Mohd Noor, yang akan bersara pada Ogos ini selepas 34 tahun mengajar dan tiga tahun menjadi pengetua di Seri Pristana berkata tindakan pemberi maklumat berkenaan melanggar peraturan apabila mengambil gambar dalam kawasan sekolah tanpa kebenaran pihak pentadbiran.

"Saya mungkin akan mengambil tindakan saman terhadap pemberi maklumat selepas bersara," kata Nasir dalam satu temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider.

"Dia melakukan kesalahan walaupun mendaftar di pondok keselamatan namun untuk ambil gambar dia perlu memaklumkan kepada pengurusan dahulu dan dia tidak berbuat demikian,” katanya.

Beliau juga kesal insiden itu tercetus hanya kerana tindakan terburu-buru ibu bapa tanpa perbincangan dengan pihak sekolah terlebih dahulu.

"Perkara ini sebenarnya bukan isu pun, namun ia berlaku kerana terlalu banyak dieksploitasi dan pelbagai pihak menyampaikan cerita tidak benar. Sebenarnya bilik itu bersih dan inilah akibat apabila tidak berbincang dengan kita.

"Cuma mungkin saya tidak tutup pintu bilik persalinan jadi orang ingat tandas berada dalam itu, walhal ia tidak ada," katanya.

Beliau turut menepis dakwaan pemberi maklumat mengenai ibu bapa pelajar lain turut bertindak membawa anak merkea keluar dari sekolah itu.

Katanya, SK Seri Pristana menyaksikan pertambahan jumlah pelajar yang kini mencecah 1,600 dan hanya anak pemberi maklumat itu saja berpindah ke sekolah lain.

"Alhamdulillah murid semakin lama semakin meningkat, dulu pada awal pembukaan hanya sekitar 500 orang, kini sudah lebih sehingga kita tidak cukup kelas dan murid bukan Islam pula daripada 20 ke 30 murid. Tidak ada pertambahan atau berkurangan," katanya.

Ramadan tahun lalu negara dikejutkan dengan pendedahan seorang ibu kepada murid sekolah terbabit yang memuat naik gambar anak bersama rakannya yang bukan Islam makan di bilik persalinan yang pada mulanya disangka tandas.

Sejak pendedahan itu, polemik mengenai isu berkenaan berterusan sehingga pemberi maklumat Guneswari Kelly memindahkan anaknya ke sekolah lain kerana mendakwa tertekan akibat insiden tidak berkesudahan itu.

Nasir berkata, beliau turut berdepan dengan tekanan termasuk desakan meletak jawatan atau ditukarkan ke sekolah lain namun akuinya meskipun berdepan dengan pelbagai kecaman, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak meminta maaf.

"Sampai kini saya langsung tiada keluarkan kenyataan minta maaf, kalau daripada jabatan atau kementerian saya tidak tahu, itu mereka punya hal namun bukan saya, saya tidak berniat membelakangi undang-undang, bukan kita sengaja untuk cetuskan insiden berkenaan, niat saya baik.

"Saya mengikut prosedur kita ada buat perbincangan di peringkat pengurusan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukannya mereka tidak tahu bilik itu sudah digunakan sejak Mei dan kita mengambil kesempatan untuk membuat pengubahsuaian kecil di kantin," katanya.

Anak jati Tanjung Karang Selangor itu berkata, selain menerima pelbagai ugutan bunuh beliau juga mengakui pernah diminta untuk ditukarkan ke sekolah lain.

"Saya ada diminta untuk ditukarkan ke sekolah lain, tetapi saya tidak tunduk. Malah semasa perjumpaan saya dengan Datuk Seri Idris Jusoh saya membawa bersama senarai sumbangan saya dalam dunia pendidikan untuk beliau nilai.

"Saya berkata kepadanya saya bukan guru biasa yang duduk di rumah kemudian pergi kerja kerana pencapaian saya lebih daripada itu. Di sekolah, luar sekolah malah pada parti juga, sekiranya saya hanya berdiam diri dan ikut prosedur, ditukarkan lagi orang kata guru besar ini teruk," katanya.

Susulan kejadian itu, beliau turut melahirkan kekecewaan kepada Kementerian Pendidikan yang selalu menggunakan arahan perpindahan kepada guru sekiranya berlaku sesuatu isu.

"Saya tahu berpindah itu satu prosedur normal bagi guru namun sampai bila, kononnya alasan untuk mengharmonikan keadaan. Patutnya mereka kena siasat terlebih dulu baru ambil tindakan. Bila mereka buat begini maka saya berani kata pengaruh kerajaan akan berkurangan kerana pendidik rasa tidak dilindungi," katanya.

Kantin yang dipertingkat dengan kawasan tambahan bagi keselesaan murid. – Gambar The Malaysian Insider oleh Shafiq Safiee, 3 Julai, 2014.
Kantin yang dipertingkat dengan kawasan tambahan bagi keselesaan murid. – Gambar The Malaysian Insider oleh Shafiq Safiee, 3 Julai, 2014.

Hampir setahun insiden sekolah Seri Pristana berlaku, tinjauan The Malaysian Insider menyaksikan rutin pelajar di sekolah itu diteruskan seperti biasa dengan ibu bapa termasuk bukan Islam menunggu anak selepas sesi persekolahan selesai.

Nasir berkata, bilik persalinan yang pernah mencetuskan kontroversi itu kini sudah ditukarkan kepada tempat latihan fizikal dan pelajar bukan Islam menggunakan kantin untuk makan pada bulan Ramadan.

"Bilik itu kita ubah jadi cantik untuk pelajar jalani latihan fizikal dengan menggunakan peruntukan sumbangan pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor," katanya merujuk kepada Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, selepas insiden itu atas saranan kementerian, sekolah mengadakan majlis perpaduan.

"Kita adakan majlis perpaduan untuk mengharmonikan suasana kita jemput semua penjaga, majlis itu seperti hari kantin dengan pelbagai aktiviti dan ia berlangsung amat lancar dan meriah," katanya.

Beliau berkata, pencapaian sekolah itu dalam bidang akademik dan sukan amat membanggakan biarpun baru dibuka dalam tempoh tiga tahun.

"Kita terima banyak anugerah, dan kini tercalon bagi sekolah kluster (pengiktirafan sekolah bertaraf tinggi) sasaran saya untuk tersenarai sebagai sekolah kluster sebelum bersara.

"Saya selalu kata visi saya mahu jadikan sekolah ini terkenal paling kurang di Selangor namun tidak sangka pula kini terkenal di seluruh dunia," katanya berseloroh. – 3 Julai, 2014.