Setiausaha Agung PKR nafi Hamas mula inisiatif dialog BN-Pakatan

Setiausaha Agung PKR nafi Hamas mula inisiatif dialog BN-Pakatan

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menafikan laporan sebuah portal berita yang mengatakan kemungkinan Khalid Mishal dari Hamas yang datang ke Malaysia untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2013 sebagai pihak memulakan inisiatif dialog diantara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimanapun menurut Saifuddin, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat malam tadi, PR sentiasa mengambil sikap terbuka cadangan mengadakan dialog dengan BN terutama dalam perkara-perkara yang berkait kepentingan rakyat dan negara.

“Kalau secara kebetulan pertemuan di antara kedua mereka berlangsung di antara pertemuan Khalid Mishal dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa hari sebelumnya, hal ini bukanlah bermakna pemimpin Hamas tersebut memulakan inisiatif ‘perbincangan’ di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.

Menurut Saifuddin, pertemuan diantara Anwar dan Khalid semalam merupakan pertemuan susulan yang sebelum ini berlangsung di Doha, Qatar awal tahun 2012.

“Bertemu di pejabat PCOM (Palestine Cultural Organisation Malaysia) petang semalam jam 2.30 petang turut disertai seorang lagi wakil Hamas Osama Hamdan dan saya sendiri selaku Setiausaha Agung PKR.

“Sepertimana pertemuan sebelum ini, tumpuan perbincangan kedua-dua mereka semalam adalah dari hal perkembangan politik di Timur Tengah dan negara-negara Arab khususnya Mesir, Syria, Tunisia, Sudan dan Yemen,” katanya.

Sebuah portal berita melaporkan hari ni menyatakan terdapat kemungkinan pemimpin Hamas memulakan inisiatif dialog diantara BN dan PR.

Laporan itu dibuat selapas Anwar mengeluarkan kenyataan malam tadi yang mengatakan PR bersedia untuk berdialog dengan BN.

Ketua Umum PKR itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi berkata berkata mereka membuat tawaran ekoran ucapan Najib dalam ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung Umno yang mengatakan parti itu bersedia menghulurkan salam politik dengan mana-mana pihak.

"Oleh itu, sekali lagi kami mengulangi kesediaan serta mengambil sikap terbuka untuk mengadakan perbincangan ke arah kepentingan bangsa dan politik baharu," kata Anwar dalam kenyataan tersebut. – 6 Disember, 2013.