Singapura naikkan caj masuk bagi kenderaan asing mulai 1 Ogos

Singapura naikkan caj masuk bagi kenderaan asing mulai 1 Ogos

Bermula 1 Ogos, bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing berdaftar ke Singapura akan dinaikkan dari S$20 (RM51) kepada S$35 sehari, demikian menurut Lembaga Pengangkutan Darat (VEP) hari ini.

Dalam satu kenyataan, LTA juga memaklumkan kenaikan bayaran VEP bagi Permit Kenderaan Barangan (GVP) untuk kenderaan asing berdaftar juga akan dinaikkan kepada S$40 berbanding S$10 sebulan.

Kenaikan itu, bagaimanapun dikecualikan terhadap bas atau teksi.

Menurut LTA, waktu dikenakan VEP mengikut jam kekal iaitu dari 2 pagi hingga 12 tengah hari pada hari bekerja semasa Jun dan Disember, cuti sekolah di Singapura dan dari 2 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja selain dua tempoh cuti sekolah berkenaan.

Bayaran VEP bagi motosikal asing berdaftar kekal pada S$4 setiap hari.

Semua kenderaan asing berdaftar dan motosikal akan terus menikmati waktu bebas VEP iaitu pada Sabtu, Ahad dan cuti umum di Singapura, hari bekerja biasa dan antara 5 petang hingga 2 pagi pada hari lain (waktu VEP ini dilanjut untuk bermula pada 12 tengah hari dan bukan pada 5 petang semasa cuti sekolah pada Jun dan Disember di Singapura).

Lembaga itu memaklumkan kenderaan asing berdaftar boleh meneruskan pembelian

GVP dengan harga semasa iaitu S$10, mulai Julai 2014.

Bagaimanapun, bagi GVP yang tamat tempohnya selepas Julai 2014 akan dikenakan bayaran S$40 sebulan.

Maklumat lanjut berhubung caj baharu VEP dan GVP untuk kenderaan asing berdaftar boleh diperoleh di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Pengguna juga boleh melayari www.lta.gov.sg> 'Roads & Motoring’ > ‘Driving In and Out of Singapore’ atau menghubungi LTA di 1800-2255 582 (1800-CALL LTA) jika di Singapura atau 65-62255 582, jika membuat panggilan dari negara lain. – Bernama, 1 Julai, 2014.