Advertisement

SPR: Bajet 2014 bukan faktor penetapan tarikh PRK Sungai Limau

PRK Rompin 5 Mei, sebelum Permatang Pauh, kata SPR

Pembentangan Bajet 2014 tiada dalam pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini.

Beliau berkata, SPR mengambil kira tarikh penting seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada 6 November, perayaan Deepavali (2 November) dan Awal Muharram (5 November).

Katanya, apa yang paling penting ialah pilihan raya kecil itu dibuat sebelum peperiksaan SPM kerana banyak pusat mengundi dan dewan adalah milik sekolah.

"Kita tidak mahu mengganggu pihak sekolah daripada segi susun atur meja mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Sungai Limau di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, katanya, tarikh pilihan raya kecil DUN Sungai Limau mengambil kira dua acara penting yang akan berlangsung dalam dua parti politik iaitu Umno dan PAS.

"Umno akan mengadakan pemilihan parti pada 19 Oktober manakala Muktamar PAS akan diadakan dari 22 hingga 24 November," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pihak pembangkang bahawa SPR memilih tarikh selepas pembentangan Bajet 2014 bagi memancing undi dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual membentangkan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini. - Bernama, 3 Oktober, 2013.