Sultan Selangor perkenan himpunan depan Istana, kata Perkasa

Selangor Sultan cutting short his trip, returns August 23

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) berkenan memberi kebenaran kepada pertubuhan itu untuk berhimpun di hadapan Istana Kayangan pada Isnin ini.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata perkara itu disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) pada minggu ini.

“Kita anggarkan 3,000 ke 5,000 orang seluruh umat Islam akan hadir pada hari itu kerana ia merupakan hari bekerja.

“Kita hendak bangkitkan momentum taat kepada raja dan agama Islam. Kita cuba tunjukkan jangan cuba memperlekehkan agama Islam,” katanya kepada media selepas mempengerudikan mesyuarat Perkasa negeri di Shah Alam hari ini.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dititahkan Sultan Selangor supaya merujuk isu Bible yang dirampas dengan pihak pendakwa raya.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah supaya kemelut melibatkan Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) itu diselesaikan menerusi proses mahkamah.

Perkasa Selangor akan mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap Jais dan Mais berhubung rampasan Bible dari Pertubuhan BIble Malaysia (PBM) Januari lalu.

Perhimpunan itu akan diadakan di perkarangan Istana Kayangan Shah Alam bermula pada jam 11 pagi dan membariskan beberapa pemimpin Perkasa untuk memberikan ucapan sebelum memorandum diserahkan kepada pihak Istana.

Abu Bakar berkata Perkasa akan berdiri teguh di belakang Jais dan Mais dalam mempertahankan titah Sultan Selangor agar kemelut itu diselesaikan di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh umat Islam yang berkelapangan untuk sama-sama hadir berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada badan penguatkuasa Islam di negeri itu.

“Perkasa akan berdiri teguh di belakang Jais dengan arahan Mais untuk tidak memulangkan Bible tersebut kerana kami dapati bahawa rampasan tersebut dilakukan mengikut undang-undang yang dibekalkan kepada Jais.

“Kami menjemput seluruh umat Islam untuk sama-sama hadir di depan Istana Kayangan menyatakan sokongan penuh terhadap Jais dan Mais untuk memelihara kesucian agama di negeri Selangor di bawah naungan tuanku Sultan,” katanya.

Beliau berkata dalam perjumpaan hari ini, 22 wakil dari setiap Parlimen di Selangor dikerahkan untuk memngumpulkan sekurang-kurangnya 100 orang ahli Perkasa di majlis itu.

Di kesempatan itu juga, Abu Bakar turut menyelar kenyataan Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Katanya, apa yang dititahkan Sultan Selangor adalah selari dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“MCA jangan buat-buat tak faham. Bila masa Peguam Negara suruh serahkan? Peguam Negara suruh ikut perundangan. Sama dengan titah Sultan Selangor.

“Menteri besar dan exco tak boleh arahkan Mais kecuali perkara itu dibawa ke mahkamah. Jika tidak dibicarakan, maknanya Mais kena simpan (Bible tersebut),” katanya.

Malaysiakini hari ini melaporkan Ti mendakwa tiada keperluan membawa kes Bible ke mahkamah kerana Peguam Negara sudah membuat keputusan.

Katanya, keputusan Peguam Negara untuk tidak membuat pertuduhan kepada PBM dan mahu menutup kes itu adalah berlandaskan undang-undang. – 20 Jun, 2014.