Advertisement

Syarahan peringatan Gandhi bincang dasar sederhana Najib

Syarahan peringatan Gandhi bincang dasar sederhana Najib

Konsep kesederhanaan di Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah antara topik utama akan dibincangkan pada syarahan khas bagi memperingati ulang tahun kelahiran mendiang Mahatma Gandhi.

Pengerusi Gandhi Memorial Trust (GMT), S. Radhakrishnan berkata acara itu akan diadakan di Royal Lake Club di Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada 2 Oktober, sempena ulang tahun ke-145 Gandhi, yang disambut sebagai Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Syarahan khas tentang kesederhanaan itu selaras dengan ajaran Gandhi. Ia juga bertepatan susulan dunia kini dilanda perang dan konflik etnik dan agama," katanya kepada Bernama.

Radhakrishnan berkata dua penceramah terkenal akan berkongsi pandangan mereka tentang bagaimana untuk memanfaatkan kerelevanan ajaran Gandhi pada masa kini pada syarahan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global(GMM) Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Datuk Dr Christopher Boey Chiong Meng akan memberi ucapan penghargaan dan penghormatan kepada Gandhi pada acara yang akan bermula 5 petang.

Sesi itu akan dipengerusikan Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan dilancarkan Koordinator Residen PBB bagi Malaysia, Michelle Gyles-McDonnough.

Radhakrishnan berkata Perhimpunan Agung PBB pada 15 Jun, 2007, sebulat suara menerima pakai resolusi mengisytiharkan hari jadi Gandhi pada 2 Oktober disambut sebagai Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa.

Mohandas Karamchand Gandhi dilahirkan pada 2 Oktober, 1869, memimpin India mencapai kemerdekaan pada 1947 dan memberi inspirasi kepada pergerakan hak dan kebebasan sivil di seluruh dunia.

Strategi unik beliau iaitu "Satyagraha" atau tentangan secara pasif dikagumi jutaan orang di seluruh dunia.

Masuk adalah percuma dan mereka yang berminat menghadiri acara syarahan khas itu boleh menghantar e-mel ke radhakrishnan@shearndelamore.com. – Bernama, 21 September, 2014.