‘Tak peduli’ punca utama Khalid disingkirkan, dedah Anwar

‘Tak peduli’ punca utama Khalid disingkirkan, dedah Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui dirinya dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berada dalam dilema sebelum memutuskan untuk menyingkirkan rakan karib mereka, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, daripada parti.

Anwar berkata beliau dan isteri menganggap Khalid sebagai keluarga terdekat, dan pada mulanya sering mempertahankan menteri besar (MB) Selangor itu apabila diserang ahli parti sendiri yang mengeluh tentang kelemahannya.

Tetapi akhirnya terpaksa membuat keputusan setelah mendapati kesalahan besar Khalid adalah sering menunjukkan sikap tidak peduli terhadap masalah rakyat.

"Azmin tahu, Majlis Pimpinan Negeri (Selangor) bertahun-tahun minta tindakan saya pertahankan," kata Anwar merujuk kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

"Saya tak setuju dengan tindakan itu semua.

"Saya pernah pegang tangan Tan Sri Khalid; 'banyak perkara yang baik dilakukan tapi dengarlah sikit'," katanya dalam ucapan di Kongres PKR di Shah Alam, hari ini.

Menurut Anwar, beliau dan Wan Azizah mengambil pendirian tidak memburukkan Khalid

Anwar menafikan rancangan menyingkirkan Khalid kerana ingin mengaut kontrak dan harta kekayaan negeri demi kepentingan peribadi sesetengah pihak.

"Bukan soal kontrak, bukan soal jawatan yang dituntut. Saya tak setuju kalau ini kerana parti nak minta kontrak, saya tak setuju dan saya beritahu secara terbuka pada kongres yang lalu saya sokong Tan Sri Khalid yang ikut peraturan dan tidak mudah meluluskan hanya kerana kepentingan parti.

"Tetapi soalnya macam (lebuh raya) Kidex, puluhan ribu bantah, panggilah dan dengar. Itu sahaja permintaan," katanya.

Katanya, beliau berdepan cabaran memberi penerangan kepada rakyat Selangor mengenai kelemahan Khalid mengagihkan kekayaan kepada rakyat.

"Nak terangkan tidak mudah, sebab saya diserang oleh orang di Selangor kerana terlalu lemah dalam menangani isu menteri besar Selangor (sehingga) makan masa bertahun-tahun.

"Akhirnya, bila ada keputusan untuk menyelesaikan masalah dengan peralihan, saya pula diserang," katanya.

Beliau juga menyeru PKR memastikan peralihan kuasa MB berlaku dengan baik, serta mengelakkan perselisihan peribadi.

"Sebab tu saya pertahan Azizah daripada buat apa-apa kenyataan yang menyinggung peribadi dia (Khalid) dan harap dia berundur dengan baik," katanya.

PKR memecat Khalid pada 9 Ogos selepas mendapati beliau ingkar arahan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) 21 Julai memberi laluan kepada Wan Azizah menggantikan beliau sebagai MB.

Keesokannya, Khalid menghadap Sultan Selangor, dan mendapat perkenan meneruskan tugas, selepas Adun Pelabuhan Klang itu memaklumkan kepada istana beliau mempunyai sokongan majoriti DUN. – 24 Ogos, 2014.