‎Tambah BR1M khusus untuk wanita, kata PKR

On eve of Anwar’s sodomy appeal, PKR leaders call for justice and rule of law

PKR hari ini mencadangkan agar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dilanjutkan khusus untuk wanita kerana kumpulan itu turut menyumbang kepada pembangunan negara, kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin.

Ketua Wanita PKR itu berkata melalui pemberian BR1M kepada wanita, mereka juga akan menikmati kuasa beli.

"Wanita turut menyumbang kepada pembangunan negara, mereka perlu mempunyai kuasa beli.

"Jadi saya cadangkan supaya BR1M itu ditambah atau dibahagi dua kepada golongan wanita," katanya ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Zuraida sebelum itu mengkritik pemberian wang tunai secara "one-off" kepada rakyat berpendapatan rendah yang menurutnya bukan penyelesaian ekonomi jangka panjang.

Ekoran kenyataan bercanggah yang dikeluarkannya, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah dari Barisan Nasional (BN) kemudian bangun dan membidas Zuraida serta berkata pemimpin PKR itu turut menyokong BR1M.

"Ha, tengok tu... maknanya Yang Berhormat (YB) sokong BR1M," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2015 minggu lepas berkata keputusan itu dibuat mengambil kira peningkatan dalam kutipan hasil kerajaan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kemampuan kerajaan.

Bantuan kewangan itu turut dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

BR1M juga akan dibayar sebanyak tiga kali setahun, iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 akan dibayar mulai September 2015.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000, kerajaan akan meningkatkan nilai BR1M daripada RM450 kepada RM750.

Bantuan ini akan dibayar sebanyak 3 kali setahun iaitu RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya RM350 akan dibayar mulai September 2015.

Bagi kategori individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000, kerajaan akan meningkatkan nilai BR1M daripada RM300 kepada RM350 setahun.

Di samping itu, Najib juga berkata kerajaan akan menggantikan insurans takaful berkelompok atau i-BR1M yang diperkenalkan sebelum ini dengan Skim Khairat Kematian.

Skim itu dijangka akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan RM1,000 yang akan berkuatkuasa selama setahun. – 15 Oktober, 2014.