Tanda Putera harus diisytihar sebagai filem cereka, kata DAP

Tayangan percuma Tanda Putera sempena Perhimpunan Agung Umno

“Mereka bebas menayangkan filem tersebut tapi mesti mengisytiharkan ia merupakan filem cereka.”

Ini merupakan reaksi Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mengulas mengenai penayangan filem kontroversi Tanda Putera yang akan berada di pawagam seluruh negara pada 29 Ogos ini.

Menurut Pua, adegan membabitkan sekumpulan belia Cina kencing di tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor yang dikaitkan dengan Penasihat DAP telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Lim Kit Siang dengan menegaskan elemen dalam filem tersebut boleh mencetuskan ketegangan.

Bagaimanapun dakwaan tersebut ditepis pengarah, Datin Paduka Shuhaimi Baba (gambar) tahun lalu mengatakan adegan kencing tidak ditujukan kepada Lim dalam filem yang berlatar belakang 13 Mei 1969.

Lim bagaimanapun mengutuk tindakan Shuhami memuat naik gambarnya ketika ditarik oleh pihak berkuasa dengan meletakkan kapsyen “Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor di kediaman Menteri Besar Selangor" di laman Facebook rasmi filem itu.

Lim juga membidas kenyataan Shuhaimi yang mempertahankan tindakannya itu apabila berkata pihaknya menerima banyak gambar dari umum di mana ia dikongsi di laman Facebook termasuk gambar “kencing” itu.

Lim menyifatkan perbuatan Shuhaimi itu adalah sesuatu mustahil dan tidak boleh diterima.

Pengarah itu bagaimanapun telah mengeluarkan gambar tersebut setelah dikritik ramai.

Menurut Lim, fitnah yang disebarkan berdasarkan dakwaan tidak berasas itu diibuat oleh pihak filem tersebut apabila meletakkan gambar itu di laman Facebook dan kenyataan kononnya berkongsi maklumat dari orang ramai turut memberi gambaran kabur bahawa gambar itu merupakan salah satu adegan dari filem itu

Shuhami semalam, memberitahu The Malaysian Insider untuk memberi peluang kepada filem itu kerana ia menceritakan sejarah negara berdasarkan kisah benar.

Shuhaimi juga meluahkan kekecewaan ke atas Lembaga Penapisan Filem (LPF) dengan cara badan itu menyunting filem tersebut.

Pua, bagaimanapun percaya filem itu tetap akan membangkitkan kemarahan dan ketegangan kaum sekiranya ia berdasarkan kisah benar.

“Masalah isu ini amat jelas, apabila penonton yang menonton filem ini menyangka kisah diceritakakan adalah benar,” kata Pua kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Ia tidak mungkin akan menjadi isu sekiranya filem itu berdasarkan cereka namun Shuhaimi menyatakan Tanda Putera dibikin berkisarkan kisah benar maka ia merupakan perkara serius,” kata Pua.

Katanya, filem The New Village, sebuah lagi filem kontroversi memaparkan sebuah kisah cinta telah mencetuskan ketidaksenangan sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penayanagan filem itu dan sehingga kini status filem itu masih belum diputuskan.

Filem itu dikatakan mengagungkan perjuangan komunis dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan kerajaan menggantung The New Village buat masa ini.

“Bukankah isu yang diberi perhatian adalah sama, iaitu apa saja boleh menimbukan senstiviti kaum akan dikenakan tindakan namun dari apa berlaku sekarang kerajaan tidak melakukan dengan adil,” kata Pua. – 22 Ogos, 2013.