Advertisement

Terengganu hulur wang ehsan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir

Setiap keluarga mangsa banjir di Terengganu akan menerima bantuan wang ehsan RM1,000, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata sebanyak RM500 akan disalurkan kerajaan negeri manakala sebahagian lagi oleh kerajaan pusat menerusi Majlis Keselamatan Negara.

"Namun mereka yang terjejas dalam banjir gelombang pertama tidak lagi akan menerimanya sekiranya turut terbabit dalam banjir gelombang kedua dan seterusnya.

"Bagaimanapun kerajaan akan terus menghulurkan bantuan lain berupa barangan keperluan termasuk makanan," katanya.

Beliau mengiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhamad Ismail Sultan Mizan yang menyerahkan bantuan kepada 586 keluarga mangsa banjir di Taman Desa dan Taman Desa Darul Iman di Gong Badak.

Razif berkata Terengganu bakal menerima sebahagian daripada peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat berjumlah RM50 juta seperti yang diumumkan sebelum ini dan akan menyalurkannya kepada rakyat secara berperingkat.

Kerajaan negeri menyalurkan bantuan wang ehsan kepada 380 keluarga sekitar Teluk Ketapang yang terbabit dengan banjir gelombang pertama.

Terengganu kini menampung lebih 35,000 mangsa banjir. – Bernama, 27 Disember, 2014.