Terlajak kereta boleh digostan, terlajak kata….

Orang tua-tua selalu berpesan kepada anak-anak muda, sebelum bercakap, lebih baik berfikir terlebih dulu. Tapi apabila orang tua-tua sendiri yang terlajak kata, lain jadinya.

Apatah lagi jika “orang tua” itu merupakan seorang pemimpin atau menteri. Inilah yang berlaku kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada 1 Julai lalu, agensi berita nasional Bernama melaporkan Tengku Adnan sebagai berkata, pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.

"Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.

"Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dua hari selepas itu, media melaporkan Tengku Adnan sebagai berkata:"Mengenai gelandangan ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.

"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Kenyataan Tengku Adnan itu mengejutkan ramai pihak apalagi ia dilakukan pada bulan Ramadan di mana umat Islam digalakkan untuk bersedekah dan membantu pihak yang kurang bernasib baik.

Mengapa Malaysia menjadi terlalu sombong? Apakah jika tiada peminta sedekah, golongan tidak berumah dan pemberi bantuan kepada golongan ini di Kuala Lumpur, tambahan berjuta-juta lagi pelancong akan datang melawat negara?

Pertama kali dalam sejarah dunia, seseorang atau sekumpulan manusia yang membuat kebaikan akan diambil tindakan dan dihukum oleh negara.

Selepas diserang hebat dan dilihat memberikan imej buruk kepada kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa campur tangan dan mengatakan Tengku Adnan akan berjumpa dengan pengendali dapur jalanan di sekitar Kuala Lumpur untuk mencari jalan penyelesaian.

Tengku Adnan sendiri mengubah nada semalam apabila berkata beliau sendiri menyumbangkan berkampit-kampit beras setiap bulan bagi membantu golongan tidak berumah di sekitar Kuala Lumpur.

Sepertimana Najib yang terlepas cakap sebelum ini apabila mengatakan ahli Umno perlu mencontohi keberanian kumpulan pengganas Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (Isil), kata-kata Tengku Adnan itu sukar untuk ditarik balik.

Apalagi apabila persepsi umum sudah terbentuk dan kenyataan Tengku Adnan sebagai setiausaha agung Umno memberikan isyarat parti Melayu itu kini sebuah parti elit dan semakin jauh daripada masyarakat.

Sedangkan Umno itu sendiri berkuasa kerana disokong oleh rakyat bawahan.

Kini, apabila sudah terlalu lama berkuasa dan tidak pernah hilang kuasa, Umno menjadi terlalu angkuh dan sombong.

Kelahiran pelbagai NGO memberikan makanan secara percuma kepada golongan tidak berumah di sekitar ibu negara merupakan satu “rahmat” kepada kerajaan kerana golongan ini menjalankan kerja yang sepatutnya dilakukan pemerintah negara.

Di kala pemimpin negara terlalu asyik hidup di rumah-rumah mewah seperti Tengku Adnan sendiri, masih terdapat rakyat Malaysia yang memikirkan kehidupan golongan yang tidak bernasib baik di ibu negara.

Sepatutnya kerajaan, Umno dan BN berterima kasih kepada kumpulan-kumpulan ini kerana berjaya “memanjangkan” lagi tempoh hayat mereka di tampuk kuasa.

Dengan adanya kumpulan ini, sekurang-kurangnya golongan yang tidak bernasib baik di sekitar ibu negara merasakan mereka masih dibela dan tidak perlu merusuh seperti di sesetengah negara lain untuk mendapatkan makanan.

Tetapi begitulah, “terlajak kereta boleh digostan, terlajak kata….” – 6 Julai, 2014.