Advertisement

Tiada calon MB Selangor selain Wan Azizah, kata Anwar

This is not about Anwar, says Wan Azizah on being ‘replacement’ candidate

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian hanya nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai menteri besar Selangor seperti yang diputuskan Pakatan Rakyat (PR) pada 17 Ogos lalu.

Katanya, dakwaan mengatakan PAS masih mahu calon kedua selain Dr Wan Azizah itu tidak berbangkit dan yakin 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor juga akan menyokong presiden PKR selepas keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat (PR).

"Saya sudah semak. Tidak ada isu sebab PAS kata mereka akan rujuk kepada mesyuarat tertinggi Isnin ini.

"Tetapi keputusan sudah dibuat. Jadi tidak ada isu," katanya kepada pemberita selepas Kongres PKR di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

Seorang pemimpin kanan PAS memberitahu The Malaysian Insider hari ini parti Islam itu akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin untuk membincangkan sama ada mereka mahu menyokong Dr Wan Azizah sebagai satu-satunya calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau tidak.

Sumber memberitahu, mesyuarat itu dipanggil sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyokong secara terbuka agar Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor, sebelum Adun Pelabuhan Klang itu dipecat PKR.

Mengulas tentang mesyuarat Majlis Pimpinan PR semalam, Anwar berkata isu surat akuan yang perlu ditandatangani baki 13 Adun daripada PAS untuk menyokong Dr Wan Azizah itu tidak dibangkitkan.

Katanya, mesyuarat itu sebaliknya membincangkan tentang proses undang-undang yang boleh diambil PR sekiranya krisis Perlembagaan timbul semasa menyelesaikan kemelut menteri besar.

Katanya, PR mendengar pandangan pihak guaman tiga parti, iaitu R Sivarasa (PKR), Asmuni Awi (PAS), dan Gobind Singh Deo (DAP).

“Kita cuma bincang langkah seterusnya yang harus diambil dan implikasi undang-undang dalam proses ini, setelah kita mempersembahkannya kepada Tuanku,” katanya.

Ditanya mengenai pertikaian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan PAS, Anwar berkata isu itu diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat Mohamed Azmin Ali untuk menyelesaikannya. – 23 Ogos, 2014.