Tindakan tatatertib UM nafi hak mahasiswa – Tan Kar Hing

Saya mengecam tindakan pihak pentadbiran Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib ke atas mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu kerana tindakan ini menafikan hak kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpolitik.

Sejak Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971) diperkenalkan, ianya sering disalahgunakan oleh parti pemerintah sebagai alat untuk mengongkong fikiran dan kebabasan mahasiswa.

“Seawal tahun 2011 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pindaan Auku untuk memberi ruang kepada mahasiswa bergerak aktif dalam politik. Namun sehingga hari ini, akta tersebut masih digunakan pihak berkuasa untuk mencengkami dan mencabuli hak asasi mahasiswa.

Ini jelas menunjukkan transformasi politik yang diwar-warkan oleh Najib hanya merupakan janji kosong dan retorik politik semata-mata.

Cara pentadbiran sebegini menyebabkan menara gading yang pada asalnya institusi untuk mencari ilmu pengetahuan dan kebenaran semakin pudar. Sebaliknya, ianya kini lebih menyerupai kilang siswazah untuk memenuhi keperluan tenaga pekerjaan pasaran.

Saya menyarankan rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada mahasiswa dalam mempertahankan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Kemaraan perjuangan mahasiswa merupakan komponen penting dan membawa impak signifikan dalam perjuangan demokrasi negara.

Pemuda PKR menyatakan sokongan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memelihara hak asasi dan turut mengambil bahagian dalam masyarakat dan perjuangan. Pemuda PKR juga bersedia memberikan bantuan kepada mahasiswa yang terlibat dan bersama menuntut hak anak muda. – 31 Oktober, 2014.

* Penulis ialah naib ketua Pemuda PKR dan Adun Simpang Pulai.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.