Advertisement

Tinggalkan PAS jika tidak setuju bersama Pakatan, kata Khalid Samad

PAS dibuli Umno bukan Pakatan, kata Khalid Samad

Ahli-ahli PAS yang mahu parti Islam itu meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat (PR), harus meninggalkan parti itu, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini.

Khalid, yang merupakan seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata, jika ahli-ahli parti berasa parti itu lebih baik tanpa PR, maka mereka harus meninggalkannya dan menyertai Umno.

"Apabila ahli ini pergi, barulah PAS akan dapat menjadi anggota yang efektif dalam PR," kata Khalid pada sidang akhbar di pusat perkhidmatannya di Shah Alam.

"Sudah tentu, dalam PAS ada berlaku perbezaan pendapat dan pandangan alternatif," katanya, mengakui ada puak dalam PAS yang tidak bersetuju dengan PR.

"Sebab itu saya katakan, mereka yang tidak bersetuju PAS tidak harus bersama dengan PR perlu meninggalkan parti dan pergi ke tempat lain."

Peranan PAS dalam Pakatan diperdebatkan beberapa kali oleh ahli dan pemimpinnya dan yang terbaru semasa isu menteri besar Selangor.

Beberapa ahli secara terbuka meminta para pemimpin PAS mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan DAP, mendakwa parti Islam terlalu banyak berkompromi.

Bagaimanapun, Khalid tetap yakin PAS boleh menjadi ahli berkesan dalam PR dan juga menolak khabar angin parti itu mengintai jawatan menteri besar Selangor.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi PAS tidak akan merebut jawatan menteri besar Selangor kerana calon mesti mendapat sokongan majoriti," kata Khalid.

"Terdapat banyak cara untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti, dan ini termasuk akuan berkanun."

Beliau berkata Adun PAS Hulu Klang Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) memainkan peranan penting dalam isu menteri besar Selangor.

"Tindakan Saari dan Hasnul adalah penting kerana ia adalah satu petunjuk yang jelas bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak lagi mendapat sokongan majoriti."

"Walaupun ramai mengkritik kedua-duanya, tidak ada ragu kesan daripada keputusan mereka menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail."

Khalid berkata, ini adalah punca jalan buntu di Selangor berjaya dipecahkan dan Khalid terpaksa menyerahkan surat peletakan jawatannya dan diterima oleh Sultan Selangor.

"Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil kira kekurangan sokongan majoriti untuk Khalid sebelum menerima perletakan jawatan beliau."

Khalid berkata, jika menteri besar itu memastikan peralihan kuasa yang licin sebelum dipecat daripada PKR, beliau boleh dinamakan sebagai penasihat kepada menteri besar Selangor yang baru.

"Saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan peranan baru bagi Khalid jika isu itu diselesaikan secara baik." – 27 Ogos, 2014.