Advertisement

Tip untuk membeli papan kekunci

Selain dari tetikus, papan kekunci adalah cara utama anda berinteraksi dengan komputer dari hari demi hari. Maka ianya penting untuk mempunyai papan kekunci yang sesuai dengan cara kegunaan anda. Di sini kami ingin berkongsi beberapa tip berguna untuk anda gunakan semasa anda ingin membeli papan kekunci baru anda.

Hendakkan saiz besar ataupun kecil?

Terdapat beberapa saiz yang boleh dipilih semasa anda berada di kedai komputer kegemaran anda. Dua yang berbeza ialah papan kekunci yang mempunyai kekunci nombor ataupun “Numpad” di sebelah kanan ataupun hanya kekunci QWERTY standard sahaja.

Dengan memilih di antara dua saiz ini, anda perlu fikir – jika anda perlukan kekunci tambahan ataupun anda boleh kerja dengan kekunci standard sahaja.

Kekunci mekanikal ataupun tidak?

Jika anda ke kedai dan mencuba kekunci yang dijual, anda akan perhatikan bahawa semasa anda menaip dengan kekunci dari satu jenama, ianya lebih senyap dan lembut jika berbanding dengan kekunci yang anda cuba dari jenama yang lain.

Di pasaran terdapat beberapa jenis teknologi yang digunakan oleh pengeluar-pengeluar berbeza untuk digunakan di dalam papan kekunci mereka:

- Kekunci Suis Kubah: Kekunci jenis ini biasanya digunakan di dalam telefon anda. Ianya melengkapkan litar untuk kekunci tersebut apabila kekunci ditekan dan besi di dalam kekunci ini akan melengkapkan litar, dan menghantar signal ke komputer untuk diinterpretasikan.

- Kekunci suis-gunting: Kekunci jenis ini adalah teknologi yang paling banyak digunakan oleh pengeluar papan kekunci, terutamanya untuk papan kekunci di dalam komputer riba.

- Kekunci Suis Mekanikal: Kekunci jenis ini mempunyai satu suis di bawah setiap kekunci, dan setiap jenis kekunci ini mempunyai masa reaksi yang berbeza. Sebagai contoh, Cherry Red adalah sesuai untuk gaming kerana setiap kekunci mempunyai masa reaksi yang pantas, manakala Cherry Blue pula sesuai untuk menaip kerja kerana ianya paling hampir rasanya dengan mesin taip lama.

Wayar ataupun wayarles?

Ini adalah soalan subjektif untuk sesetengah orang kerana ianya mengikut kesukaan pengguna. Ada yang inginkan wayar kerana ia mempunyai kualiti yang lebih baik semasa bermain permainan video di komputer. Manakala papan kekunci tanpa wayar pula memberikan kesenangan kerana anda boleh berada jauh dari meja untuk mengawal komputer anda.

Soalan seterusnya adalah pakai Bluetooth ataupun sambungan dengan wayar. Kedua-dua ini juga mempunyai kebaikkan tersendiri. Jika anda mempunyai dongle Bluetooth di dalam komputer anda, jadi papan kekunci yang menggunakan sambungan tersebut mungkin menjadi pilihan anda. Akan tetapi anda juga boleh menggunakan dongle yang diberikan oleh pengeluar untuk menyambungkan papan kekunci anda dengan komputer anda.

Fungsi istimewa?

Sesetengah papan kekunci mempunyai fungsi yang hanya terdapat pada produk tersebut. Kami telah melihat papan kekunci yang mempunyai paparan LCD, numpad yang boleh dicabut, skrin sesentuh yang juga berfungsi sebagai ‘touchpad’ pelbagai guna dan juga papan kekunci yang boleh digulung!

Gaming ataupun kerja biasa sahaja?

Akhir sekali – anda ingin menggunakan papan kekunci anda untuk gaming sekali, ataupun hanya untuk kerja? Papan kekunci untuk gaming selalunya mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya digunakan semasa gaming dan akan tahan lebih lama daripada papan kekunci yang bukan direka untuk gaming.