Transparency International lancar kempen perang aliran wang, dakwa gugat ekonomi

Pemeriksaan berkala tingkatkan ciri keselamatan kediaman bertingkat

Transparency International-Malaysia (TI-M) hari ini melancarkan kempen memerangi pengaliran wang haram ke luar negara "Unmask the Corrupt" kerana kesannya yang boleh menggugat kedudukan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Akbar Satar berkata kempen itu bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan mengenai bahaya dan ancaman yang mungkin dihadapi.

"Pelaburan 'wang kotor' mungkin merencatkan ekonomi dan menjejaskan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi negara apabila ia memasuki pasaran global dan kewangan.

"Ia menjadi lebih sukar untuk dijejak asalnya dan hasil daripada pengaliran wang haram mungkin membawa kepada kitaran jenayah dan penyeludupan dadah," kata Akbar semasa merasmikan kempen tersebut di Hotel Armada, Petaling Jaya pagi tadi.

Untuk menjayakan kempen tersebut, Akbar berkata TI-M akan bekerja untuk menubuhan satu Pertubuhan Masyarakat Sivil (Civil Society Organisation-CSO) atau gabungan CSO.

"TI-M akan bekerja untuk menubuhkan CSO atau gabungan CSO untuk bekerja dan menarik kepakaran serta mereka yang berpengalaman untuk mencapai objektif kempen ini," katanya.

Selain itu, satu surat terbuka juga akan dihantar TI-M kepada Putrajaya bagi memberi cadangan dan gesaan ke arah menangani pengaliran wang haram ini.

"Selain penubuhan gabungan ini, surat terbuka kepada kerajaan juga akan dihantar dengan cadangan yang teliti bersama petisyen daripada umum.

"Kita juga menggesa orang ramai tandatangan dan sokong bagi memberi kekuatan kepada kempen ini," katanya.

Malaysia mencatatkan pengaliran wang haram sebanyak RM174 bilion menurut laporan Global Financial Integrity (GFI) tahun lalu.

Laporan penyelidikan anti-rasuah dan kumpulan advokasi GFI itu mendedahkan Malaysia berada pada kedudukan keempat di belakang Russia, China dan India dalam laporan pada 2011.

GFI mendefinisikan aliran keluar wang haram sebagai pemindahan wang yang dijana menerusi aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, aktiviti jenayah dan usaha mengelak cukai ke atas kejayaan diperoleh.

Bagaimanapun, Putrajaya memberi alasan jumlah besar tersebut adalah disebabkan oleh penentuan harga perdagangan yang salah, bukannya kerana jenayah mahupun rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata status Malaysia sebagai negara keempat yang mengeksport modal haram bukan suatu yang mengejutkan kerana ia juga menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang aktif di dunia. – 2 September, 2014.