Tuah Raya Hairie

Tidak menolak kemungkinan jadi YB suatu hari nanti kini penyelam profesional

SUATU ketika dulu, wajah dan ceritanya kerap menghiasi muka depan akhbar ruangan selebriti atau majalah. Pasa masa tersebut, dia menjadi buruan lensa kamera dan wartawan apabila kelihatan memiliki wajah dan personaliti yang menarik. Meskipun kadang-kadang, tidak ada cerita menarik untuk dipaparkan, namun kerana dia Hairie Othman, oleh itu ada saja perkara yang boleh dikaitkan sekalipun hanya soal remeh. Tetapi bagaimana Hairie kini? Beliau seolah-olah begitu jauh dengan publisiti yang pernah gah ditawan ketika dulu.

Akhir-akhir ini, beliau muncul kembali tetapi bukan untuk tampil semula dalam arena lakonan tetapi muncul di arena berdakwah dan politik. Malah, beliau antara selebriti pertama yang mendedahkan kecenderungan parti politik yang disokongnya secara terbuka ketika orang lain masih sembunyi-sembunyi menyokong dalam hati.

Sempena kehangatan Syawal menjelang, Majalah Tech sempat menemuramah beliau yang kini aktif berceramah tetapi dalam diam beliau sebenarnya mempunyai kebolehan lain yang menjadikan orangnya yang tinggi lampai berasal dari Kuala Nerang, Kedah ini lain dari yang lain. Apakah aktiviti beliau sekarang? Masa depan? Gajet yang dimilikinya dan banyak lagi....

Beliau yang popular dengan filem Lt Adnan mempunyai gaya seperti pegawai tentera yang mahu bertempur di medan perang, ditambah pula selepas mengenakan pakaian seragam celoreng tentera yang mempunyai jahitan namanya di sebelah kanan baju itu. Ketinggian dan susuk tubuh yang dimilikinya itu juga memberikan satu kelebihan buatnya yang menyerlahkan lagi karismanya sebagai seorang pegawai tentera.

MT: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Hairie?
HO: Saya berasal dari Kedah tetapi sudah menetap di Kuala Lumpur sejak 22 tahun yang lepas dan kini menetap di Pandan. Saya mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri Nazarita Abdullah Sani. Berkahwin September 2002 sebelum bercerai pada Oktober 2007. Anak saya ialah Dini Marini, 7, El Farish Kamil, 6, dan El Harith Kamil berusia 5 tahun.

MT: Apa aktiviti Hairie sekarang?
HO: Saya mula menjinak-jinakkan diri berpolitik dan pada masa yang sama saya juga seorang tenaga pengajar bagi aktiviti skuba.

MT: Bagaimana boleh timbul idea berpolitik? Selepas lama menyepi pula.
HO: Sebenarnya sudah lama tetapi saya lebih banyak berdiam diri dan menyokong dalam hati, baru sekarang rasa terbuka untuk meluahkannya di depan umum. Orang mula tahu apabila saya memberi sedikit komen politik dalam laman Facebook saya yang menyebabkan orang mula memberi maklum balas. Ramai yang menyokong saya.

MT: Apabila berpolitik, tidak takutkah saudara disalah erti? Mungkin juga hilang periuk nasi?
HO: Tidaklah, saya cuma memberi pandangan saya dan saya kira kita semua perlu memberi pandangan masing-masing dan bukannya tersorok. Ia sebenarnya membuka minda untuk berfikiran matang. Saya bercampur dengan orang ramai dan mereka juga tidak akan menyalahertikan penglibatan saya. Ada orang kata, hilang tempat cari makan? Tidak mengapa, Tuhan yang memberikan rezeki dan ia ada di mana-mana. Insya Allah rezeki akan ada.

MT: Apa sasaran Hairie apabila berpolitik?
HO: Saya harap dapat menegakkan agama saya, inilah sumbangan kecil saya. Apabila orang panggil berceramah, selagi saya mampu, saya akan sumbangkan sesuatu kepada agama dan masyarakat.

MT: Ok, jom kita berbalik kepada hobi saudara, boleh ceritakan sedikit?
HO: Sebenarnya, sejak dari kecil lagi saya suka berenang. Bayangkan dulu lepas balik sekolah kita akan berkubang di tali air di kampung dengan kawan-kawan. Seronoknya bukan main lagi! Bila dah besar, mungkin terbawa-bawa hobi tersebut. Itu yang membuatkan saya berkecimpung dalam dunia skuba sehingga kini. Sudah hampir tujuh hingga lapan tahun rupanya saya bergiat aktif sehingga kini boleh menjadi tenaga pengajar.

MT: Bagaimana Hairie boleh jadi tenaga pengajar?
HO: Begini, semuanya bermula secara suka-sukar, kita menyelam, melihat keindahan laut dan sebagainya. Kemudian kita pergi lebih dalam lagi, kemudian kita rasakan ia tidak mencukupi setakat itu saja. Jadi kita mohon lesen untuk pergi lebih jauh. Selepas beberapa lama dan sudah biasa, apa salahnya ambil lesen untuk mengajar pula. Sudah banyak pelajar saya ambil dan mereka berpuas hati dan boleh pula melihat keindahan laut.

MT: Di mana lokasi yang biasa Hairie kunjungi untuk aktiviti skuba?
HO: Biasanya di pantai timur, sudah banyak pulau saya teroka dan semuanya cantik apabila kita dapat lihat dasar laut yang penuh warna-warni.

MT: Lokasi lain yang Hairie ingin kunjungi?
HO: Saya teringin mahu ke Pulau Sipadan tetapi belum berkesempatan lagi. Saya juga mahu ke Filipina dan Australia serta negara-negara Asia Tenggara lain. Sebenarnya, lokasi di sini lebih menarik dan meriah dan airnya tidak berapa sejuk seperti di negara lain.

MT: Apa pengalaman menarik sepanjang menyelam?
HO: Saya jumpa macam-macam barang selain ikan dan karang (gelak). Saya jumpa jam lah! Kamera lah! Hahaha. Selain itu, sebagai tenaga pengajar untuk menyelam, kita akan lihat pelbagai ragam manusia yang cuba belajar menyelam. Kita akan lihat bagaimana pucatnya muka seseorang itu apatah lagi dia langsung tidak pernah berenang sebelum ini. Jadi kita akan lihat mukanya putih! Mata bulat! Sebenarnya mereka gemuruh bercampur takut. Tugas kita untuk hilangkan gemuruh, beri tunjuk ajar.

MT: Berapa lama biasanya Hairie duduk di satu-satu pulau untuk skuba?
HO: Tak tentu, ada dua minggu, bergantung kepada keadaan. Yalah, sambil pergi mengajar, kita ambil peluang terjun dalam air dalam juga. Saya boleh duduk lama-lama di laut, memang rindu. Kira macam bercuti sambil cari makan. Pernah juga saya 'menghilangkan diri' ke laut selama sebulan.

MT: Jadi aktiviti skuba untuk menyara hidup?
HO: Ada juga saya buat sedikit persediaan untuk menghadapi keadaan seperti ini. Yalah, sejak muda saya suka menyelam dan sekarang saya betul-betul jadikannya sebagai sumber pendapatan. Disebabkan saya ada lesen menyelam. Jomlah kepada sesiapa yang ingin menyertai aktiviti menyelam bersama saya boleh melayari hoscubaadventure.blogspot.com. Biasanya, saya selalu membawa rombongan menyelam di Pulau Tioman atau Pulau Perhentian. Bergantung kepada orang, sda yang pergi balik hari atau bermalam dalam bot selama tiga hari dua malam.

MT: Ada hobi lain? Hobi suatu ketika dulu, mungkin?
HO: Saya dulu sangat minat main bola sepak. Selain itu ada juga bercucuk tanam. Tapi paling syok, saya suka cari dan makan ikan...Alhamdulillah, saya pandai tangkap ikan dan pernah juga memancing.

MT: Pernah memancing?
HO: Memang, tak kira tempat dan tak kira masa. Saya akan redah mana saja sungai kolam atau tasik yang ada. Janji boleh memancing. Pernah juga saya beralih ke peringkat profesional iaitu memancing di laut dalam. Saya selalu pergi bersendirian tapi adakalanya saya pergi dengan kawan yang juga kaki pancing. Tetapi sejak boleh menyelam, saya tidak memancing. Apa perlu memancing? Kita boleh tangkap ikan semua depan mata (gelak). Ada peralatan-peralatan khas yang boleh digunakan untuk menangkap ikan dalam laut. Saya gunakannya untuk cari ikan kegemaran saya, saya tangkap dan kemudian boleh makan.

MT: Apa ikan kegemaran Hairie?
HO: Kerapu bara, jemuduk, tenggiri merah dan banyak lagi.

MT: Jauh bezakah memancing atau menyelam untuk mencari ikan?
HO: Kalau memancing, kita hanya boleh agak mana 'port' ikan tetapi kalau menyelam, kita sendiri dah ada dalam air dan nampak di mana ikan itu tinggal atau berkeliaran, lebih mudah. Senang saja, macam boleh tangkap pakai tangan! Kalau memancing, kita terpaksa main agak-agak saja, tak tentu lokasi itu ada ikan yang banyak.

MT: Apa perancangan sekarang dan masa depan?
HO: Sekarang ini banyak jemputan ceramah, hampir penuh. Setiap hari ada saja undangan. Lepas raya nanti lagilah penuh, saya cuba penuhi selagi terdaya. Saya juga teringin untuk memiliki bot sendiri jadi mudah untuk saya mengembara dan membawa pelajar.

MT: Tidak mahu jadi YB (Yang Berhormat)?
HO: Hahaha...Ia bukan mudah. Ada prosesnya...(MT mencelah: kalau ada yang mahu Hairie bertanding). Saya tidak menolak kemungkinan, kalau kepimpinan minta dan dipersetujui, saya akan terima cuma saya tidak akan melobi.

MT: Sudah berapa tahun Hairie menduda, bila mahu tamatkan zaman bujang?
HO: Saya ada terfikir, sudah masanya saya tamatkan zaman berseorangan tetapi ia bergantung kepada rezeki Allah, kalau ada, saya terima. Sudah enam tahun saya menduda.

MT: Ada calon?
HO: Tidak ada buat masa sekarang.

MT: Baiklah, kita sekarang dalam musim perayaan, apakah makanan kampung yang paling sedap ketika raya?
HO: Nasi daging, ia makanan masyarakat setempat terutama orang Kedah ketika musim raya, nasinya akan dicampurkan dengan daging dan dimasak bersama. Aromanya cukup menyelerakan. Kelazatannya memang tidak dinafikan. Boleh buat kita rindu pada kampung. Sedapnya!

MT: Apa perancangan raya tahun ini?
HO: Saya akan berhari raya di kampung pada 1 dan 2 Syawal tetapi masuk hari ketiga sudah sarat dengan aktiviti ceramah di seluruh negara.

MT: Baiklah, kita beralih kepada soalan gajet, apa gajet yang dimiliki Hairie buat masa ini?
HO: Saya mempunyai Blackberry Bold 3 yang menjadi perancang aktiviti dan sebuah tablet Samsung 10.1 untuk kita jenguk apa yang berlaku di seluruh dunia manakala untuk aktiviti skuba saya cuma perlukan kamera Sony Powershot.

MT: Cukupkah mengambil foto laut dengan Sony?
HO: Sudah cukup baik, saya boleh pasangkan kasing 'underwater' dan boleh meneroka dunia laut yang indah. Ia boleh merakam warna-warni dalam laut yang cukup indah. Warna bawah laut lebih menarik.

MT: Tiada niat bertukar kepada kamera DSLR?
HO: Saya belum terdetik mahu berjinak-jinak dalam DSLR disebabkan ia mungkin terlalu komplikated. Saya perlu belajar menggunakan kamera dan kaedah penyuntingan, penukaran lensa dan sebagainya. Mungkin belum lagi.

MT: Apa teknologi yang Hairie inginkan untuk skuba?
HO: Saya mahu teknologi yang memungkinkan kita berkomunikasi dalam air dengan orang di atas ataupun sesama penyelam. Pastinya lebih mudah untuk berborak dalam air dengan teknologi tersebut. Sangat menyeronokkan!

MT: Ada pesanan untuk pembaca Majalah Tech sempena edisi kali ini?
HO: Sebagai seorang artis, saya juga manusia biasa yang mahu berubah. Saya harap saudara yang lain juga boleh berubah ke arah lebih baik.

MT: Terima kasih Hairie.
Hairie: Sama-sama

Hairie Othman yang berusia 41, adalah antara wajah yang dirindui peminat yang muncul dalam dunia lakonan sezaman dengan Faizal Hussein dan Nasha Aziz. Personaliti menarik yang dimiliki membintangi beberapa filem lain seperti Kad Cinta dan Puteri Impian. Beliau telah berlakon lebih 100 drama seperti Badai Metropolis, Hanya Dikau, Biar Ku Sentuh Cinta Mu, Rindu Semakin Jauh dan Mahligai Gading. Selain itu, antara filem yang sudah dibintanginya ialah Kad Cinta, Sutera Putih, Tragedi Oktober, Sate, Puteri Impian, Leftenan Adnan, Seri Dewi Malam, Gila Gila Pengantin, Susuk dan Dimensi Cinta.

How do you feel about this article?

Comments on Yahoo pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo does not in any way endorse or support comments made by its users.