Advertisement

Tuntutan kerusi naib presiden, naib ketua bahagian mungkin wujudkan pergeseran

Tuntutan kerusi naib presiden, naib ketua bahagian mungkin wujudkan pergeseran

Tuntutan Pergerakan Wanita Umno agar dua kerusi tambahan, masing-masing satu kerusi naib presiden dan naik ketua bahagian, khusus untuk sayap itu perlu diperhalusi kerana dibimbangi akan mencetuskan perpecahan, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata dikhuatiri sekiranya 'impian' itu dipenuhi akan menimbulkan perebutan sesama anggota pergerakan dan mewujudkan perselisihan.

"Kalau minta macam itu sahaja akan jadi pertandingan pula dalam Wanita Umno bagi menentukan siapa yang layak jadi naib presiden dan naib ketua bahagian. Jika ini berlaku mungkin akan wujud 'ketegangan' dalam kalangan ahli pergerakan," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Perhimpunan Agung Wanita Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini yang mahu satu kerusi naib presiden dan satu kerusi naib ketua bahagian diperuntukkan untuk Wanita Umno.

Shahrizat berkata hasil mesyuarat perwakilan Wanita Umno bahagian tahun ini, 171 bahagian dan 12,483 cawangan menyokong usul berkenaan. Wanita Umno dianggotai 1.3 juta orang, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 3.5 juta ahli Umno.

Cadangan itu mendukung kehendak Fasal 3.4, Peraturan Pergerakan Wanita Umno iaitu membangunkan wanita ke arah mencapai 30 peratus dalam bidang pembangunan dan pembuat dasar negara, katanya.

Md Shukri menarik perhatian apabila menyatakan jawatan sesuai buat kaum hawa adalah yang melibatkan pentadbiran seperti setiausaha agung dan ketua penerangan kerana golongan wanita lebih teliti dan mampu menjalankan tugas secara lebih teratur.

Melihat jawatan tertinggi parti itu sebagai satu pengiktirafan dan boleh memperkasa penglibatan wanita dalam politik, Shahrizat berkata tuntutan bagi kedua-dua jawatan itu tiada berniat mencantas sesiapa.

Walaupun menggunakan istilah 'makcik' untuk merujuk ahli pergerakan Wanita, Shahrizat dengan serius menekankan permintaan Srikandi Negara itu wajar diberi perhatian kerana sumbangannya terutama dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu tidak boleh dinafikan.

"Belum disuruh, kamilah (Wanita Umno) yang turun dahulu berkempen dan buat bacaan sikap pengundi. Bagilah makcik-makcik ini peluang. Kalau tak ada (makcik) tak adalah Pemuda dan Puteri, hancurlah Umno," katanya disertai tepukan gemuruh daripada 991 perwakilan di Dewan Tun Ismail di PWTC. – Bernama, 26 November, 2014.