Tutup universiti: PAS gesa kerajaan kaji semula kontrak Syed Mokhtar

Tutup universiti: PAS gesa kerajaan kaji semula kontrak Syed Mokhtar

PAS menggesa Putrajaya mengkaji semula kontrak yang diberikan kepada hartawan Tan Sri Syed Mokhtar ekoran tindakan yayasan miliknya menutup Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU).

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, Kementerian Pendidikan juga seharusnya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik AiU, Yayasan Albukhary – yang dimiliki Syed Mokhtar – ekoran pelanggaran syarat penutupan universiti yang digariskan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

"Undang-undang tidak memilih bulu… kementerian perlu mengambil tindakan walaupun ia milik Syed Mokhtar.

"Kerajaan juga perlu mengkaji semula kontrak diberikan kepada Syed Mokhtar kerana beliau mengabaikan tanggungjawab sosial (CSR) dengan menutup univerisiti itu," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

The Malaysian Insider awal minggu lalu melaporkan, universiti milik penuh Syed Mokhtar di Kedah akan ditutup hujung minggu ini ekoran rasa tidak puas hati pelajarnya dan isu pihak pengurusan – dengan pelajarnya akan mula dipindahkan ke universiti lain minggu depan.

Pegawai universiti berkenaan berkata kepada The Malaysian Insider, 600 pelajar sesi pertama akan mula dipindahkan ke universiti lain.

AiU merupakan sebuah universiti yang dilengkapi penginapan dan kemudahan komprehensif di atas tanah berkeluasan 18 hektar terletak di Alor Star – dibina pada 2010 sebagai waqaf yang dibiayai Yayasan Albukhary milik Syed Mokhtar.

Universiti antarabangsa itu mempunyai pelajar lebih dari 50 negara dengan 75% daripadanya adalah penuntut asing. Setiap pelajarnya menerima biasiswa daripada yayasan itu.

Universiti berkenaan menawarkan bidang pengajian ijazah jurusan Perbankan dan Pembiayaan, Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat dan Sains Komputer. Semua programnya diluluskan kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kakitangan dan pelajar di universiti itu menghadapi ketidaktentuan beberapa bulan lepas berikutan spekulasi operasinya akan dihentikan disebabkan masalah kewangan dan akan dijual.

Februari lalu, dilaporkan kakitangan akademik dimaklumkan kampus akan ditutup dan mereka perlu mencari pekerjaan lain.

Malah, universiti itu juga menutup tawaran kepada pelajar baharu dengan laman webnya tertera "ditutup untuk penyelenggaraan." Para pelajar juga dimaklumkan mereka akan dipindahkan ke universiti swasta dan awam.

Mahfuz turut berkata, enam pelajar yang mengambil tindakan perundangan terhadap penutupan universiti berkenaan juga diberi amaran akan dikenakan tindakan oleh pihak universiti.

Akta berkenaan katanya memperuntukkan tempoh setahun untuk pemakluman penutupan universiti, sedangkan AiU hanya memaklumkan penutupan mereka kepada pelajar dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Saya dimaklumkan, surat pemakluman penutupan hanya diterima kementerian pada Mac.

"Malah, surat keizinan kelulusan penutupan daripada kementerian pun tiada," katanya.

Demi kepentingan 600 penuntut institusi berkenaan Mahfuz berkata, pihak pengurusan seharusnya mempertimbangkan kesemua pelajar pengambilan pertama itu tamat pengajian sebelum mengambil keputusan menutup institusi pendidikan itu.

"Kita tidak boleh berbuat apa-apa sekarang. Tapi kami akan menawarkan bantuan sekiranya pelajar memerlukan bantuan kami," katanya kepada pemberita.

Yayasan Albukhary diasaskan pada 1996 atas prinsip taqwa dan ihsan.

Yayasan itu mula mendapat perhatian apabila membantu orang Islam dan komuniti terpinggir akibat kemiskinan, perang dan bencana alam termasuk mempromosi kebudayaan Islam dan biasiswa bagi orang Islam dan bukan Islam. – 16 April, 2014.