Advertisement

‘Ummi’ penyayang, pandai masak, kata anak mangsa MH17 Rahimmah

"Pemergiannya amat dirasai kerana dia seorang ibu dan nenek yang sangat baik hati, penyayang dan pandai memasak," luah Anne Rahimmah Tournier, anak mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17, Allahyarham Noor Rahimmah Mohd Nor, 67.

Anne, 29, yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Geneva, Switzerland, berkata anak beliau, Alice Iman Tournier yang berusia tiga tahun memanggil ibunya dengan panggilan "Ummi".

"Ia adalah sesuatu yang amat penting bagi kami. Masakan beliau yang mengajar saya dan ayah untuk memakan makanan pedas. Beliau sangat pandai memasak. Arwah mengasuh anak perempuan saya. Cucunya menganggap beliau sebagai ibu kedua," katanya ketika ditemui pemberita di Ipoh, hari ini.

Menceritakan kenangan manis bersama Allahyarham, Anne berkata walaupun begitu lama tinggal di Geneva, ibunya masih menggunakan bahasa ibunda ketika berkomunikasi dengan anaknya dan juga berkesempatan mengajar cucunya bahasa tersebut.

"Saya boleh bercakap dalam bahasa Melayu tapi sikit-sikit. Saya akan cuba melakukan perkara yang sama sebab saya juga mempunyai darah kacukan Melayu," katanya.

Anne bersyukur kerana jasad ibunya ditemui dan majlis pengebumian di Ipoh, Perak berjalan lancar.

Arwah pernah berpesan dia mahu jasadnya dikebumikan di rumah keluarganya di Kampung Melayu Rizab, Tambun, Ipoh, kata Anne.

"Kami tahu bahawa arwah akan pergi ke Ipoh, beliau suka sangat dan dari awal lagi kami tahu arwah mahu pergi ke Ipoh," katanya.

Anne berkata beliau dijangka pulang ke Switzerland pada Selasa ini dan kemungkinan akan tinggal di sini beberapa hari lagi untuk mengenali keluarga ibunya dengan lebih rapat.

"Masih banyak lagi perkara yang perlu diuruskan. Saya juga mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga dan saudara-mara di sini," katanya sambil menambah adiknya Johan, 26, akan datang ke sini untuk menziarahi pusara ibunya dalam masa terdekat.

Sementara itu, suami Allahyarham, Hippolyte Tournier, 72, yang merupakan pesara di sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva berkata beliau mengenali Rahimmah ketika sama-sama bertugas di PBB dan melangsungkan
perkahwinan pada 1985.

"Saya mengahwini beliau dan datang melawat keluarganya pada 1985, saya baru berkahwin dengannya di Geneva dan arwah membawa saya berjumpa datuknya, yang merupakan imam masjid dan saya khuatir reaksi beliau terhadap saya.

"Tetapi saya tidak boleh lupakan melihat kegembiraannya, beliau amat mesra dan amat mengalu-alukan. Ia benar-benar mengharukan saya dan sangat istimewa bagi saya," katanya.

Beliau berasa amat bertuah mempunyai isteri seperti Rahimmah kerana sikap setianya terhadap keluarga.

Tournier yang berasal dari Uruguay, juga melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan negeri Perak di atas istiadat penghormatan jenazah yang berlangsung Jumaat lepas.

"Kami sangat bersyukur dengan layanan yang diberi kepada kami dengan penuh keprihatinan. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan menerima kami dengan penuh kebaikan dan terbuka. Seluruh negara bersama kami, bersedih kehilangan orang tersayang," katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Rahimmah antara 43 rakyat Malaysia yang terbunuh dalam insiden itu. – Bernama, 24 Ogos, 2014.