Umno tidak ada alasan moral masuk campur isu hudud, kata Anwar

Anwar bukan dipecat, kekal Penasihat Ekonomi Selangor, kata Azmin

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyifatkan pemimpin Umno tidak mempunyai alasan moral untuk masuk campur dalam isu hukum hudud.

Umno Kelantan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menyokong usul rang undang-undang persendirian hudud yang dibentangkan kerajaan PAS negeri Kelantan.

"Umno tidak ada alasan moral untuk membicarakan hudud," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini dilaporkan bakal membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen bagi mendapatkan restu untuk pelaksanaan undang-undang Islam tersebut.

Bagaimanapun, usaha tersebut mendapat tentangan banyak pihak, khususnya daripada rakan komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP dan komponen Barisan Nasional (BN) MCA.

Usul tersebut menyebabkan pertikaian dikalangan parti PR, memandangkan konsensus hudud tidak berada dalam Buku Jingga gabungan pembangkang tersebut.

Anwar juga mempersoalkan kejujuran kerajaan BN melibatkan pelaksanaan hudud ketika ketidakdilan dan salah guna kuasa masih berleluasa.

"Umno gunakan isu ini untuk alihkan pandangan daripada isu rasuah, kelemahan mereka mengurus negara.

"Ada tokoh Umno jerit kuat soal hudud, tapi dia diam soal kasino. Bagaimana kita nak bicarakan hudud dan masa yang sama galakkan kasino. Orang Umno tidak jawab soal ini," kata Anwar.

Anwar juga membidas sistem perundangan Syariah negara ini kerana tidak cekap, mengambil contoh pengalaman yang dihadapinya dalam kes Liwat II dengan pembantu peribadinya.

"Bagaimana nak laksanakan hudud? Kes saya sebagai contoh bawa ke Mahkamah Syariah, empat tahun orang menuduh saya tidak dapat dengar," katanya.

Anwar bagaimanapun tidak menolak hukum hudud memandangkan ia merupakan hukum dalam Al-Quran.

"Sebagai seorang Muslim saya tidak menolak hukum hudud seperti tertulis di dalam Al-Quran," katanya.

Mengenai langkah diambil kerajaan PAS Kelantan, Anwar berkata PR menghormati usaha yang diambil bagaimanapun penerangan lebih lanjut diperlukan.

"Kita perlu beri pertimbangan adil kepada PAS untuk menjelaskan," kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar menggesa supaya kerajaan terlebih dahulu menunjukkan keikhlasan dalam melaksanakan hudud dengan mencerminkan sikap telus dan adil dalam pentadbirannya sebelum bercakap soal hudud. – 16 April, 2014.