UPSR bocor: Lembaga Peperiksaan perlu diaudit, kata PAC

PAC to summon 10 ministries over issues raised in audit report

Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu disiasat Audit Negara ekoran kebocoran soalan kertas Sains dan Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kebocoran itu dianggap antara paling serius memandangkan ia memberi kesan kepada hampir 500,000 murid Tahun 6.

"Saya akan bangkitkan hal ini kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap sistem keselamatan kertas peperiksaan. Ini bagi memastikan sistem itu tidak dikompromi," katanya.

Bercakap kepada The Malaysian Insider hari ini, ahli Parlimen Pulai itu berkata, PAC tidak boleh meneliti prosedur operasi standard lembaga berkenaan selagi Ketua Audit tidak melakukannya.

"Saya berpendapat, mereka patut beri keutamaan kepada kes ini untuk diaudit dan mencadangkan mekanisme kawalan dalaman bagi menangani sebarang kekurangan dan memastikan ia tidak berulang," katanya.

Beliau berkata individu yang didapati bersalah juga seharusnya dikenakan tindakan tegas memandangkan isu ini sering berulang.

"Sekarang ini, mereka tidak takut diaudit, menyebabkan orang ramai boleh terlepas. Jadi, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan hukuman keras terhadap mereka yang membocorkan kandungan kertas peperiksaan itu," katanya.

Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan pelajar Tahun 6 perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2 yang diduduki pagi ini, berikutan terdapat kebocoran.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idiris Jusoh berkata, mereka yang menduduki peperiksaan Bahasa Inggeris dengan kod 014/1 dan 014/2 perlu menduduki kembali peperiksaan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Tahun ini, 473,175 murid Tahun 6 menduduki peperiksaan UPSR di 8,299 pusat peperiksaan. Ia bermula Rabu dan sepatutnya berakhir hari ini.

Semalam, kementerian mengumumkan kertas Sains UPSR yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 30 September selepas didapati kandungannya tersebar di laman sosial. – 11 September, 2014.