Utusan sokong polis tahan PPS kerana ‘lagak samseng’

PPS diisytihar pertubuhan menyalahi undang-undang, semua aset dibekukan

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyokong tindakan polis menahan 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang kerana pasukan sukarela tersebut "berlagak seperti samseng".

Menurut kolumnis Awang Selamat, anggota PPS juga perlu ditahan kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas polis dapati pasukan itu pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Kita tidak boleh benarkan mana-mana kerajaan negeri yang kononnya pasukan sukarela, tetapi berlagak seperti samseng," tulis akhbar tersebut dalam ruangan "Bisik-bisik Awang Selamat" hari ini.

"Apa yang termaktub dalam Perlembagaan sudah jelas, iaitu kuasa menjaga keselamatan di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat, bukannya kerajaan negeri."

Menurut Awang Selamat, tindakan polis tidak bermotif politik, sebaliknya untuk memastikan semua pihak menghormati undang-undang tanpa berkira.

"Tindakan itu membuktikan dalam menegakkan undang-undang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah gentar berhadapan dengan sesiapa, termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang begitu angkuh mencabar polis.

"Tetapi terbukti PPS bersikap sebaliknya, sengaja mahu mencabar polis mengambil tindakan hanya kerana berasa mereka berada di bawah perlindungan negeri," katanya.

Semalam anggota PPS ditangkap polis ketika sambutan Hari Merdeka peringkat negeri sedang dijalankan di George Town, Pulau Pinang.

Mereka ditahan sepasukan polis pada jam 10.15 pagi sebaik sahaja menyertai upacara rasmi perbarisan, sebahagian daripada perarakan tahunan yang diadakan di Padang Kota Lama, dan dibawa ke balai polis berdekatan untuk disoal siasat.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menangkap anggota PPS sekiranya mereka meneruskan aktiviti, kerana dilihat terpesong daripada tujuan asal penubuhannya empat tahun lalu, iaitu berkhidmat kepada masyarakat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata PPS bukan pertubuhan yang sah kerana tidak pernah didaftarkan dengan RoS.

Ketua Menteri Pulau Pinang mempertahankan PPS, menegaskan ia tidak pernah tersasar dari objektif asal dan ia pertubuhan sah di bawah kerajaan negeri, sama seperti Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Beliau juga mengatakan kerajaan negeri akan menyediakan pasukan peguam bagi membela anggota PPS sekiranya ditahan polis dan memberi bantuan kewangan kepada keluarga mereka semasa mereka dalam tahanan. – 1 September, 2014.