Vladimir Putin ucap takziah kepada Malaysia

Presiden Rusia menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak susulan insiden penerbangan MH17 yang ditembak jatuh 40km dari sempadan Ukraine-Rusia.

Tragedi kedua membabitkan penerbangan Malaysian Airlines (MAS) mengejutkan rakyat Malaysia dan dunia, ketika insiden MH370 masih belum ditemui.

"Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak selepas pesawat penumpang Malaysian Airlines terhempas di wilayah Ukraine yang menyebabkan banyak kemalangan jiwa," kata Putin dalam kenyataan disiarkan di laman kedutaan.

Presiden Rusia tersebut juga meminta Najib menyampaikan takziah dan simpatinya kepada keluarga mangsa.

Lewat malam tadi, laporan mengenai pesawat MAS yang membawa 295 penumpang dan kru tersebut terhempas tersebar luas.

Pihak kerajaan Ukraine mengesahkan terdapat pesawat yang ditembak di wilayahnya bagaimanapun tidak memperincikannya.

Pihak pemisah dikhuatiri bertanggungjawab dalam insiden di wilayah bergolak tersebut.

Sementara itu, Najib tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberikan taklimat mengenai tragedi itu.

Najib dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, MAS dalam akaun Twitternya berkata mereka terputus hubungan dengan penerbangan MH17.

Siasatan oleh pihak berkuasa juga sedang berjalan bagi mengesahkan mengenai tragedi tersebut.

Gambar-gambar pesawat terhempas juga tersebar meluas di dalam media sosial. – 18 Julai, 2014.