Wan Azizah atau siapa saja jadi MB Selangor tiada beza, kata BN

Allocation offer of RM200,000 an insult, says Noh Omar – Bernama

Datuk Seri Noh Omar menyifatkan siapa sahaja calon menteri besar Selangor tidak akan memberi sebarang perbezaan, malah rakyat akan terus dipermainkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, kemelut yang berlaku untuk menukarkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku menteri besar adalah suatu permainan politik.

"Dr Wan Azizah atau siapa sahaja yang nak digantikan, sama sahaja. Tidak ada bezanya," kata Noh kepada The Malaysian Insider.

Noh juga berkata BN tidak akan terperangkap dengan permainan politik yang dimainkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR).‎

"Saya tidak mahu terperangkap dalam permainan politik mereka," katanya.

Mengenai kemungkinan pilihan raya negeri bakal diadakan jika Khalid mendapat perkenan Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Noh enggan mengulas lanjut jika ia benar-benar berlaku.

Noh semalam membidas tindakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor baharu.

Noh berkata PR tidak memahami perlembagaan negeri.

Isnin lalu, PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Khalid yang memegang jawatan itu sejak 2008.

Keputusan itu diumumkan Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dekat sini, selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat parti.

Khalid dalam satu kenyataan semalam bagaimanapun berkata walaupun menghormati keputusan itu beliau berpegang teguh kepada enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang khusus bagi pelantikan atau penggantian menteri besar.

Khalid berkata setakat ini beliau akan terus menjalankan tugas sebagai menteri besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang diamanahkan rakyat Selangor yang memilihnya melalui proses pemilihan yang sah. – 23 Julai, 2014.