Wanita Umno masih kuat, tak perlu gamat atau pelincir, kata Shahrizat

Parlimen Permatang Pauh bukan ‘sendirian berhad’, kata Shahrizat

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggamatkan dewan hari ini apabila menggunakan perkataan "gamat dan pelincir" bagi menggambarkan sayap Wanita Umno itu masih relevan dan kuat.

Shahrizat menangkis tanggapan mengatakan mereka dipenuhi generasi tua, sebaliknya menegaskan mereka merupakan tulang belakang kepada parti utama kaum Melayu tersebut.

"Tua bukan sebarang tua, kita tua tak terlantar, mai lah celen (marilah lawan).

"You umur 60, I umur 60, siapa lagi kuat? Tidak payah pakai gamat atau minyak pelincir," kata Shahrizat semasa ucapan penggulungan Wanita Umno petang ini.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata walaupun Wanita Umno mungkin dilihat tua pada usianya, ia bukan alasan mereka tidak mampu bersaing dan memberikan sumbangan kepada perjuangan parti.

"Saya tidak takut atau gementar dengan mereka yang lebih muda dan cekang," kata Shahrizat.

Shahrizat berkata, tanpa peranan yang dimainkan Wanita Umno, tidak mustahil menyebabkan ketempangan dalam parti.

"Saya takut kalau ramai daripada generasi ketiga pergi semua, lompong habis Umno ini.

"Hari ini saya nak tanya, siapa yang menangkan Umno dalam pilihan raya kecil?" soal Shahrizat.

"Jangan pandang rendah kepada kami (don't take us for granted)."

Shahrizat juga berkata, apa yang penting sebagai seorang pemimpin adalah ketokohan, serta menyeru Wanita Umno supaya tidak rasa dipinggirkan dalam parti.

"Dalam politik adalah ketokohan, jangan sesekali rasa kita tidak berguna," katanya. – 26 November, 2014.