Yes dan EduSpec melancarkan makmal Chrome pertama Malaysia di SRJKC Choong Wen

Buat pertama kalinya Yes, dengan kerjasama Eduspec – pengedar produk celik IT, PIBG dan juga lembaga pengarah SRJKC Choong Wen telah membuka sebuah makmal Chrome pertama di Malaysia. Komputer riba yang dikuasakan oleh sistem operasi Google ini telah didermakan oleh YTL Communications Sdn. Bhd., dan rangkaian internet yang dikuasakan oleh Yes 4G.

“Kami di YTL komited untuk mengubah mutu pendidikan di Malaysia dengan memberikan pelajar-pelajar akses ke informasi yang terbaik untuk diperoleh. Dengan jumlah informasi yang besar dan juga sumber-sumber tanpa tandingan di dalam Internet, peluang yang besar menanti pelajar kita. Kami di YTL ingin memastikan bahawa pelajar di Malaysia tidak ketinggalan untuk memaksimakan informasi yang boleh diperoleh oleh mereka di Internet,” kata Tan Sri Dato’ Seri Dr. Yeoh Tiong Lai, Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL.

Penubuhan Makmal Chrome ini adalah untuk memudahkan para pelajar dan guru untuk mengakses sumber-sumber yang ada di internet, menambahkan lagi keupayaan pelajar untuk memahami subjek yang sedang dipelajari. Setiap Chromebook mempunyai cip 4G terbina dalam, dan menggunakan sistem operasi Chrome. Peranti ini dipilih kerana ianya senang untuk diselenggarakan dan cara yang paling berkesan untuk memasukkan pembelajaran di awanan ke dalam kelas tanpa kos yang tinggi.